Bersua lagi kita di sini. Rasanya agak lama aku tak mengarang di sini kan. Mungkin ada yang pikir aku dah pencen dari dunia travel so takde benda nak cerita. Hehe. Sebenarnya tak, aku masih travel seperti biasa cuma malas nak blogging je. Nak cari punch line untuk entry ni pun terkial-kial sebenarnya. Apa pun halnya harini aku dah berjaya siapkan satu entry, benda yang dah lama aku niatkan iaitu sejak dari hari pertama aku trekking di ABC dulu. Maklumlah bila trekking fikiran pun melayang-layang. Pikir itu ini, nak buat itu ini.
Sebenarnya tak pernah terlintas di fikiran aku ke Nepal untuk mendaki. Perkataan “mendaki di Nepal” itu sendiri kedengaran menakutkan dan mustahil untuk aku yang langsung tak pernah mendaki gunung (pada masa tu). Aku cuma ada pengalaman mendaki Bukit Tabuh jadi macam mana aku nak mendaki Annapurna? *lap peluh*
Semuanya bermula pada suatu petang semasa aku, N dan kawan-kawan mengopi di Bandar Sunway. Bila kaki travel berkumpul jadinya topik cerita mestilah berkisar pasal travel. Masa tu semua orang sibuk bentangkan travel plan sepanjang tahun 2014 tapi aku sorang je yang ternganga-nganga. Boleh dikatakan tahun 2013 agak pasif bagi aku sebab selama 8 bulan N berada di sini, kami banyak menghabiskan masa bersama dan selebihnya melancong di dalam Malaysia. Aku lupakan hasrat nak ke mana-mana sendirian sebab tak sampai hati. Tapi untuk mengubat keinginan melihat dunia luar, aku memujuk dia untuk travel dan bukan sekadar melintas sempadan untuk tujuan “visa run”. Hasil pujukan tersebut sampailah kami ke Indonesia dan Thailand.
Jadi pada petang tersebut sekali lagi keinginan aku datang meluap-luap bila kawan-kawan bercerita pasal India. Aku yang belum pernah sampai ke sana pada masa tu hanya dapat membayangkan je. Aku tengok N, buat muka kesian. N kata pegilah, jangan rasa bersalah kat dia, dia boleh tunggu. Tapi aku fikir kalau aku pegi, maknanya cuma tinggal lebih kurang beberapa minggu sebelum dia berangkat ke Korea. Aku jadi serba salah memikirkan di antara keinginan dan kepentingan sebab kedua-duanya aku suka dan sayang.
Selepas tu seorang lagi kawan bercerita pasal perancangan mendaki di Nepal. Kalau dibuang perkataan “mendaki” mungkin aku boleh consider tapi sekarang aku jadi serba-salah. Tarikh berangkat memang kena dan berlaku selepas dia ke Korea. Kalau ke Nepal memang boleh terus ke India. Memang menarik kedengaran bunyiknya tapi boleh kah? N seperti biasa sentiasa menyokong sepenuhnya tapi masalah pada diri aku sendiri yang tak confident. Aku fikir ini semua kerja gila. Macam mana aku nak berlatih dalam tempoh yang singkat? Dan India solo? Hmmmmm.
N memang banyak kali tanya betul ke aku nak pegi India solo. Katanya lagi tunggulah bila dia free so bolehlah pegi sekali. Dia memang pernah ke sana awal tahun 2013 tapi malangnya dia termasuk dalam kelompok tourist yang kena cong dengan conman India. Masa tu dia pegi berdua tapi lepas tu solo sebab kawan dia balik ke UK sebab tak tahan selepas seminggu di India.
Berbalik pada mendaki, boleh ke aku buat trek Annapurna? Macam terkial-kial je. Tapi terus terang aku memang “kaki bangku” (walaupun term ini tak relevan sebenarnya). Aku tak suka jogging apatah lagi ke gym. Aku anggap ini semua cabaran. Aku kena paksa diri naik turun tangga setiap hari. Itu saja yang aku nampak pada masa ni selain mendaki di hujung minggu. Aku kata pada dia aku sanggup terima cabaran ni. Mungkin dah sampai masanya aku melihat travel dari perspektif yang baru.
Jadi dalam tempoh tersebut sehingga ke hari keberangkatan, aku hanya dapat menawan Gunung Irau (Cameron Highland) dan Twin Peak (Fraser Hill). Semasa ke Irau aku sempat mengheret N untuk merasa azab mendaki. Walau ini kali pertama kami mendaki gunung tapi kami berjaya sampai ke puncak. Sejak dari hari tersebut aku mula percaya pada kebolehan diri dan terus berlatih.
 |
puncak Annapurna Base Camp |
Sebelum berangkat ke sana aku kena sediakan kelengkapan mendaki. Kebanyakan barang yang aku bawak adalah ihsan dari kawan-kawan. Aku rasa ia lebih praktikal, tak membazir dan sesuai dengan cara aku yang tak berapa nak berduit ni.
Berikut adalah senarai barangan dan dokumen yang perlu disediakan untuk pendakian :-
Dokumen :-
1. Passport yang belum tamat tempoh
2. 5 keping gambar berwarna ukuran passport
3. 2 salinan passport
4. 1 salinan insurans (aku buat dengan AIG, harga RM85 untuk tempoh 15 hari)
Item no. 2-4 penting untuk permohonan visa on arrival, permit mendaki (TIMS dan ACAP)
Ubat-ubatan :-
1. Panadol 500gm
2. Yoko-Yoko
3. Ubat kuning
4. Dehydration salt
5. Gaviscon
6. Ubat ceri-beri
7. Ubat selsema
8. Ubat angin
9. Water purification tablet (beli di Kathmandu/Pokhara, harga sepapan 220 rupee)
10. Pil AMS atau “Diamox” (lebih senang beli di Kathmandu/Pokhara berbanding Malaysia sebab kena ada surat doktor, harga sepapan antara 200-250 rupee)
Barang trekking :-
1. 1x t-shirt dryfit
2. 2x hiking pants
3. 1x seluar yang bersih untuk bawak tido & solat
4. Sleeping bag -10celcius sebab pegi penghujung winter
5. 2x thermal suits baju+seluar
6. 1x baju fleece
7. 3x stoking (2 untuk hiking, 1 untuk tido)
8. Headlamp
9. Polarized sunglasses
10. Thermos
11. Flip-flops/selipar jepun (berguna bila nak mandi)
12. 2x knee guard
13. Bandage kaki
14. Makanan ringan yang bagi tenaga contohnya coklat
15. Tuala mandi
16. Toiletries
17. Hand warmers (beli kat Daiso)
18. Waterproof gloves
19. Neck warmer/scarf
20. Sunblock
21. Lip balm/Vaseline
22. Krim pelembap
23. Small daypack untuk letak barang trekking
24. 1x water proof jacket (beli di Pokhara, harga sehelai 2000 rupee, brand TNF knock off)
25. High cut boots (beli di Pokhara, harga 3200 rupee, brand Columbia knock off)
26. Sepasang trekking pole (beli di Kathmandu, harga sepasang 2000 rupee, boleh kurang kalau pandai bargain)
Barang Trekking. Lebih Afdal Kalau Bawak Dari Malaysia Atau Beli Di Nepal?
Kebanyakan barang trekking boleh beli di Kathmandu dan Pokhara. Harga di kedua-dua tempat ni lebih kurang sama tapi yang pasti jauh lebih murah dari barang outdoor original di KL. In term of quality memang good grade knock off. Boleh rambang mata dibuatnya. In fact kalau datang lenggang kangkung sekalipun takpe sebab semua equipment boleh beli kat sana. Sleeping bag rasanya lebih sesuai beli di sini sebab boleh dapat sampai -15celcius to -20celcius. Kalau nak beli sleeping bag harga average 3000-3500 rupee sebuah. Cuma untuk kasut kalau boleh beli yang original dan high cut sebab buku lali kena jaga. Jangan pakai kasut jogging, kasut adidas kampung sebab tak sesuai untuk tempoh hiking yang lama. Lagi satu faktor muka bumi kat sana memang tak sesuai untuk kasut macam tu. Benda paling penting kena jaga ialah kaki, kalau dah “tempang” memang apa pun tak boleh.
Visa Nepal
Visa kalau tak sempat buat di KL atau malas nak ke embassy Nepal pun takde masalah sebab boleh buat visa on arrival selepas touchdown di airport Kathmandu. Cuma masa terbuang sikitla sebab kena beratur 2x untuk visa application dan imigresen di kaunter berasingan.
USD 15 – 15 hari
USD40 – 30 hari
USD90 – 90 hari
Visa boleh dibayar dalam matawang USD, RM dan beberapa lagi matawang asing. Masa tu aku bayar guna RM so nilai pun ikut latest currency exchange (masa tu lebih kurang RM80++). Borang visa ada di airport, cuma sediakan sekeping gambar.
Porter & Guide
Semasa trekking aku sarankan bawak hanya barang yang penting. Letak semua dalam daypack (contoh air, coklat dan baju hujan). Bawak yang penting saja sebab lagi ringan lagi bagus. Kalau amik porter boleh suruh dia bawak barang yang lain. Aku jugak sarankan amik porter di Pokhara sebab tak perlu bayar kos pengangkutan dari Kathmandu. Di Pokhara ada banyak travel agency yang menguruskan guide dan porter. Pakej trekking pun ada, boleh customize mengikut kemampuan. Kalau jalan dalam group yang takde experience seeloknya amik guide dan porter. Ada kes hikers hilang kat sini, so better pikir banyak kali bagi yang takde experience.
Tapi kalau berjalan dalam kumpulan yang berpengalaman (orang gunung), mungkin perlu sewa porter saja. Tak payah buat sakit badan hiking 8-9 hari bawak beg berat. Upah porter tak mahal dan kalau nak jimat boleh kongsi dua orang untuk satu porter. Barang kena pandai agih kalau kongsi berdua sebab berat yang ideal untuk seorang porter adalah sekitar 15-20kg. Jangan pentingkan diri dan seksa porter. Kita manusia, dia pun manusia. Dia bukan keldai angkut barang, show some respect dan berpada-pada. Kos upah porter sehari paling maksimum USD15, kalau kena low season mungkin boleh dapat USD12. Sangat murah sebenarnya kalau dicongak. Porter lazimnya dapat makan minum dan penginapan free bila bawak kita ke guesthouse di sepanjang trek. Tapi jangan disebabkan dia dapat semuanya free jadi kita pun jaki. Kena pikir jugak azab dorang pikul barang kita. Kadang-kadang bila peak season atau guesthouse penuh, porter selalunya tido kat ruang makan. Kesian kan. Jadinya sebelum nak bargain lagi murah, pikirkan kebajikan dorang dan pikir bertuahnya aku ada porter.
Penginapan Tea House
Sepanjang trek ke Annapurna Base Camp kita akan jumpa banyak tea house di setiap kampung. Harga bilik untuk sharing basis di antara USD1.50-USD3 seorang. Tapi semakin mahal bila hampir ke puncak. Dekat sini semua benda adalah berbayar dan takde yang free. Kalau nak mandi air panas kena bayar (air biasa yang sejuk gedi tu free), caj bateri handphone/kamera pun bayar, heater pun bayar (so kalau nak jimat bawaklah baju yang tebal dan hand warmers), wifi pun bayar, air kosong untuk bekal hiking pun bayar (1L dalam 80-100 rupee) dan makanan yang sememangnya confirm kena bayar. Kat sini konsep dia semakin tinggi semakin mahal tapi masih terkawal dan masih murah kalau di tukar nilai dalam matawang ringgit.
Makanan
Menu di semua tea house sama dari bawah sampailah ke atas. Kalau nak yang fancy sikit mungkin di Chomrong. Kat sini dorang tak makan daging sebab menghormati spirit gunung. So kalau nak bawak serunding tu handle with care lah sebab kita pun kena respect fahaman dorang. Imigresen Nepal pun tak strict pasal makanan dari luar so bolehla bawak serunding dan sambal ikan bilis tempe kalau suka. Sambal belacan pun boleh kalau jenis makan kena bercili. Hehe
Ada lagi ke info yang tertinggal? Kalau takde maknanya lepas ni aku akan proceed dengan pengalaman hiking dalam entry yang seterusnya.
Sekian.
.